Pasang Go-Pro pada wau, hasil rakaman sangat wow… macam guna dron! – “Saya serba salah, ramai rindu kampung”

Aktiviti ini merupakan tradisi keluarganya di Kampung Sijangkang, Teluk Panglima Garang, Selangor, sejak turun-temurun lagi.
SEBUT sahaja mengenai wau atau layang-layang, pasti ramai dalam kalangan kita sudah lama tidak bermain permainan tradisional itu.

Di aplikasi TikTok, perkongsian video Nur Farhain Sazali, 31, menunjukkan aktiviti dia bermain wau bersama ahli keluarganya ternyata mencuri perhatian ramai.

Lebih unik, bapa saudaranya, Norhashim Kamisan, 37, turut melekatkan sebuah kamera aksi Go-Pro pada wau untuk membuat rakaman suasana kampung dari dari pandangan udara, persis hasil rakaman dron.

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Ain mengakui aktiviti itu merupakan tradisi keluarganya di Kampung Sijangkang, Teluk Panglima Garang, Selangor, sejak turun-temurun lagi.

“Aktiviti bermain wau merupakan aktiviti turun temurun keluarga kami. Waktu saya kecil dulu, arw4h atuk yang main wau.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by mStar (@mstaronlineofficial)

“Sekarang, sepupu-sepupu dan pakcik saya akan main wau pada waktu petang. Nak dijadikan cerita, pakcik saya dapat idea untuk pasang Go-Pro pada wau ketika 31 Ogos baru-baru ini.

“Dia merupakan adik bongsu emak saya. Tak tahu macam mana dia dapat idea. Tapi hasilnya macam video dron, nampak lawa dari atas. Nampak jalan dan pokok penuh kehijauan. Memang seronok dapat tengok kampung sendiri dari pandangan yang berbeza,” ujarnya.

Hasil rakaman Go-Pro pada wau tersebut.

Menurut Ain yang bekerja di bahagian kewangan dengan sebuah syarikat pertanian, dia memuat naik video itu pada 1 September lalu dan tak menyangka ia tular sehingga meraih lebih 170,000 tontonan.

Selain TikTok miliknya, video itu turut dikongsi menerusi saluran YouTube milik bapa saudaranya.

“Sebelum ini, view di TikTok saya ‘sendu’, jadi saya terkejvt video wau itu dapat sambutan. Saya tengok tiba-tiba dah viral.

“Saya post di TikTok, pakcik pula post di YouTube miliknya. Ramai yang komen nak tengok hasil rakaman.

“Mereka kata, terubat rindu nak tengok kampung halaman. Ada juga yang kata mereka rindu sebab dah lama tak balik kampung. Saya pun rasa serba salah,” ujarnya berseloroh.

Bercerita mengenai keluarganya, Ain mendedahkan sudah menjadi tradisi untuk mereka berkumpul beramai-ramai pada tarikh 31 Ogos saban tahun.

Video dikongsi Ain tular di TikTok.

Namun katanya, kekangan pandemik menyebabkan hanya keluarga yang tinggal berdekatan sahaja dapat hadir pada hari rakaman Go-Pro itu dibuat baru-baru ini.

“Selalunya sebelum pandem1k, 31 Ogos jadi tarikh rasmi kumpul di rumah nenek. Kali ini, hanya adik beradik berdekatan saja yang ada.

“Pakcik makcik di luar daerah dan negeri tak dapat balik. Alang-alang berkumpul, kami main wau sama-sama,” ujarnya lagi.

Sumber : Mstar

Leave a Comment